Sebagai bilal pengurusan jenazah,
banyak pengalaman yang telah saya tempuhi. Ada di antaranya yang cukup
menyedihkan. Tidak kurang juga yang benar-benar memberi keinsafan.
Salah satu daripada
pengalaman-pengalaman itu mempermasalahkan
pada
kain kapan tidak muat pada hal mayat yang hendak di kapankan berukuran
kecil. Ini bertentangan dengan satu lagi mayat yang saya uruskan, di mana
kain kapannya mencukupi walapun orangnya berbadan tinggi dan gemuk.
Sepanjang pengelaman saya dalam
pengurusan jenazah sejak lebih 30 tahun lalu, saya mengunakan kain kapan
sebanyak 24 ela untuk mengapankan mayat. Jumlah itu selalunya mencukupi
tidak kira sama ada mayat bersaiz besar atau kecil, gemuk atau kurus. Tetapi sewaktu menguruskan satu jenazah di negeri Selangor beberapa tahun lalu,
kain kapan sebanyak 24 ela yang saya sediakan itu tidak mencukupi pada hal mayatnya
kecil sahaja. Mayat itu berkeadaan biasa, berbadan kurus dengan
ketinggian lebih kurang lima
kaki. Saya di beritahu arwah meninggal dunia kerana sakit jantung.
Orangnya sudah tua, umurnya sekitar
60-an.Seperti biasa sebelum memandikan mayat, saya memotong dahulu kain
kapannya sebanyak tiga keping. Panjangnya mengikut ketinggian arwah
kemudian di tambah satu hasta di hujung kepala dan satu hasta di hujung
kaki.
Selepas semuanya siap disusun, saya
mula memandikan arwah dengan bantuan adik saya, Rafeah. Tiada keanehan ketikaa berlaku semasa arwah di mandikan, cuma
mukanya agak kuning dan najisnya, Maha Suci Allah amat banyak. Makin
dikorek makin banyak yang keluar. "Eh, ada lagi najis", kata
adik saya Rafeah kehairanan. Selalunya tidak sampai setengah jam, najis sudah
habis keluar tetapi yang ini, lebih 45 minit baru habis. Setelah lebih dua jam berlalu, baru selesai tugas kami
memandikan mayat itu. Selalunya satu setengah jam sudah mencukupi.
Bila semuanya sudah bersih, arwah
dipindahkan untuk dikapan. Sebaik sahaja arwah diletakkan ke atas kain
kapan, saya terperanjat besar bila mendapati kain putih yang saya sediakan tadi
tidak muat. Entah macam mana kain kapan di hujung kepala dan di hujung
kakinya cuma tinggal satu jari sahaja.
"Eh, kenapa tak cukup.
Takkan salah potong", saya berkata pada adik saya. Wajahnya turut
berkerut kehairanan bila mendapati kain kapan yang kami sediakan itu tidak
muat. Kami berdua sama-sama bingung dan bertanya-tanya di mana silapnya.
Nak katakan saya tersalah ukur semasa memotong tadi, mustahil. Rafeah
sendiri menyaksikan dan membantu saya memotong kain itu. Sudah
bertahun-tahun kami berdua melakukan perkerjaan ini, tidak mungkin kami
tersalah potong. Nak katakan pembekal kain bersalah ukur, juga tidak mungkin.
Sebelum memotong, kami mengukur terlebih dahulu kain kapan itu dan mendapatinya
cukup 24 ela. Setiap kali berlaku kematian, orang yang sama itulah yang
membekalkan kain kapan kepada saya. Tidak mungkin dia tersalah ukur.
Saya mula berkecimpung dalam
pengurusan jenazah, sejak berusia 17 tahun lagi. Waktu itu saya mengikut
nenek saya menguruskan jenazah di kawasan Klang sebelum di lantik sebagai bilal
pengurusan jenazah wanita oleh Jabatan Agama Islam Selangor pada tahun 1973.
Sepanjang tempoh pembabitan saya dalam
bidang itu, inilah kali pertama saya berdepan dengan masalah saya berdepan
dengan masalah kain kapan tidak muat. Mungkin inilah yang dikatakan
habuan dan bahagian masing-masing. Entah apa amalan arwah semasa hayatnya
hanya Tuhan sahaja yang mengetahui. Semoga Tuhan mengampunkan segala
dosanya dan mencucuri rahmat di atas rohnya. Untuk menambah kain putih
yang lain, dah tak ada. Kain yang saya bawa itu semuanya sudah
di pakai, tiada lagi saki-bakinya. Mahu tak mahu mayat arwah dikapankan
juga menggunakan apa yang ada.
Maha Suci Allah, saya sekali lagi teperanjat
beser bila mendapati kain kapan itu tidak mencukupi untuk membungkus mayat
arwah. Bahagian tengahnya ternganga seperti membungkus nasi lemak.
Selalunya kain kapan yang saya sediakan boleh menutup hingga ke bahagian
tepi. Puas saya tarik untuk cuba menutup bahagian yang
ternganga tetapi gagal. Untuk mengatasi masalah itu, saya terpaksa
menggunakan kapas untuk menutup bahagian yang ternganga sebelum mengikatnya
kemas-kemas.
Sebaik sahaja selesai kerja-kerja mengapan, arwah disembahyangkan
kemudian dibawa ke tanah perkuburan. Dan dengan itu selesailah
kewajiban saya. Namun cerita-cerita daripada salah seorang yang membantu
kerja-kerja pengebumian jenazah membuatkan diri saya menjadi bertambah
bingung. Menurutnya, semasa jenazah hendak dikebumikan, satu keanehan
berlaku yang benar-benar memberi keinsafan kepada sesiapa sahaja yang
hadir. Ketika jenazah diturunkan, liang lahad yang disediakan didapati
tidak cukup panjang hingga menyebabkan bahagian kaki jenazah membengkok.
Akibatnya, jenazah terpaksa ditarik naik dan liang lahad digali semula.
Bila kubur siap di gali, jenazah
diturunkan untuk kali kedua. Allah Maha Besar, liang lahad masih sempit
walaupun telah digali melebihi enam kaki. Setiap yang hadir bertambah
hairan. Apakah amalannya hingga diseksa begitu rupa? Jenazah dinaikkan semula
dan liang lahad ditebuk lagi untuk kali ketiga. Bila selesai kerja-kerja
menggali, jenazah diturunkan.
Alhamdulillah, cubaan kali ketiga
berjaya dan jenazah akhirnya selamat dikebumikan. Masing-masing
menghembus nafas lega. Apa yang berlaku pada jenazah itu memanglah
menyedihkan. Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana kain kapan yang saya
bawa itu tidak muat dengannya. Untuk memastikan kedudukan sebenarnya,
saya pergi ke kedai yang membekalkan kain kapan kepada saya untuk bertanya
berapa banyak kain putih yang dibekalkan kepada saya. Jika betul 24 ela,
kenapa kain itu tidak cukup sedangkan mayat yang dikapankan bersaiz
kecil. Jawaban yang diberikan oleh pekedai itu menyedarkan saya tentang
kebesaran Allah.
Menurutnya, kain putih yang dibekalkan kepada saya sama
seperti kebiasaannya, ia itu 24 ela. Jika kain itu tidak mencukupi itu
bukanlah salah sesiapa sebaliknya merupakan ketentuan Allah. Maha Suci
Allah Allah, memang benar apa yang dinyatakan oleh pekedai itu. Apa yang
berlaku ke atas jenazah itu merupakan balasan daripada Allah. Mungkin ada
di antara amalan-amalannya yang bertentangan dengan ajaran Tuhan. Entah apa
yang dilakukan oleh jenazah semasa hayatnya, wallahualam, hanya Tuhan sahaja
yang mengetahuinnya.
Tetapi daripada cerita-cerita yang
saya dengar, arwah dikatakan menpunyai tabiat buruk - suka mengumpat dan
mengatakan orang. Tidak cukup dengan itu, arwah juga dikatakan suka
mengambil tahu urusan orang serta gemar membawa mulut dari rumah ke
rumah. Bukanlah niat saya untuk membongkarkan keburukan arwah tetapi
sekadar memberi nasihat. Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran dan memberi
pedoman dan iktibar mereka yang masih hidup. Hindarkan perkara-perkara
keji demi kesejahteraan kita sendiri.
Pengalaman yang cukup menginsafkan itu
jauh berbeza dengan apa yang saya lalui semasa menguruskan satu lagi jenazah
kira-kira sebulan kemudian. Orangnya saya kenal, berbadan gemuk dan berusia
sekitar 50-an. Punca kematiannya ialah darah tinggi. Sewaktu menatap jenazahnya
untuk kali petama, saya mendapati mukanya tenang dan jernih. Walaupun bertubuh besar, tetapi Maha Suci Allah,
badannya lembut dan ringan. Saya dan adik saya Rafeah tidak mengalami
sebarang masalah untuk mengalih-alihkan badannya. Najisnya tak ada
langsung. Puas kami menekan dan mengorek, tetapi tiada sebarang kesan
najis.
"Bersih betul mayat ini", saya berbisik kepada Rafeah. Tiada
langsung kesan kotoran pada tubuhnya, seolah-olah dirinya telah di bersihkan
sebelum menghembus nafas terakhir. Seronok betul kami menguruskannya.
Mayat itu selesai di mandikan dalam tempoh tidak sampai sejam. Sewaktu
hendak mengapan jenazah, kami berdua pada mulanya di selubungi kebimbangan
takut-takut peristiwa kain kapan tidak muat berulang lagi. Maklumlah, sedangkan
jenazah kecil pun tak muat inikan pula jenezah yang besar. Tetapi syukur
alhamdulillah, kain kapan yang kami bawa sebanyak 24 ela itu cukup untuk menutupi
seluruh bahagian. Selesai kerja-kerja mengapan jenazah disembayangkan.
Kerana terlalu ramai yang hadir,
jenazah disembahyangkan dua kali. Kali pertama di rumah dan kali kedua di
masjid. Jenazah akhirnya dibawa ke tanah perkuburan dan selamat
dikebumikan. Perjalanan lancar tanpa sebarang halangan. Saya
sendiri berasa seronok menguruskannya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa
dan Maha Mengetahui. Arwah memang dikenali di kalangan penduduk-penduduk
kampungnya sebagai seorang yang kuat beribadat. Sifatnya yang suka bersedekah
dan menolong orang ternyata mendapat balasan yang setimpal. Keadaannya
jauh berbeza dengan jenazah kurus yang tidak muat kain kapannya. Bukan
menghina atau mencaci tetapi itulah hakikatnya.
Perbezaan itu jelas menunjukkan betapa
pentingnya kita hidup berlandaskan agama. Buatlah apa yang disuruh dan
tegah apa yang di larang, insya-Allah selamt didunia dan akhirat.