![]() | |
KISAH PEMUDA YANG BERNAMA UZAIR |
Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk memikirkan rahasia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah memetik buah-buahan dia pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya tersesat jalan. Setelah sekian lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri.
Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu
dilihatnya kampung itu baru sahaja diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi
rosak-binasa sama sekali. Di tapak atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia
yang bergelimpangan yang sudah busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang
mengerikan itu, dia pun turun dari keldainya dengan membawa dua keranjang
buah-buahan. Manakala keldainya itu ditambat di situ, kemudian dia pun duduk
bersandar pada dinding sebuah rumah yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya.
Dalam pada itu, fikirannya mula memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
"Bagaimana orang-orang yang sudah
mati dan hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?"
begitulah pertanyaan yang datang bertalu-talu da tidak terjawab olehnya
sehingga dia menjadi lemah-longlai dan kemudian terus tertidur. Dalam tidur
itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua arwah (roh-roh) orang-orang yang
sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa sekali, bukan hanya sejam atau
semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus tanpa bangun-bangun selama
seratus tahun lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan
di sekitarnya sudah ramai lapisan baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak
yang telah didirikan. Dalam masa seratus tahun itu, segala-galanya sudah
berubah, manakal 'Uzair tetap terus tidur tersandar di dinding buruk itu
menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa lagi. Dagingnya sudah hancur dan
tulang belulangnya sudah hancur lebur berderai.
Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati,
daging dan tulangnya yang sudah hancur itu disusun kembali oleh Allah pada
bahagiannya masing-masing lalu ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair
hidup kembali seperti dahulu. 'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun
dari tidur lantas dia mencari keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang
dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah
beberapa malaikat seraya bertanya, "Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama
engkau tidur?"
Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab,
"Saya tertidur sehari dua ataupun setengah hari."
Lalu malaikat pun berkata kepadanya,
"Bahawa engkau terdampar di sini genap seratus tahun lamanya. Disinilah
engkau berbaring, berhujan dan berpanas matahari, kadang-kadang ditiup badai
dan berhawa sejuk dan juga panas terik. Dalam masa yang begitu panjang, makanan
engkau tetap baik keadaannya. Tetapi cuba lihat keadaan keldai itu, dia
sendiri pun sudah hancur dan dagingnya sudah busuk."
Berkata malaikat lagi, "Lihatlah
dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah kekuasaan Allah. Allah dapat
menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan mengembalikan jasad-jasad yang
sudah hancur lebur dan dengan semudah itu pulalah Tuhan akan membangkitkan
semua manusia yang sudah mati itu nanti di akhirat untuk diperiksa dan diadili
segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan oleh Tuhan kepada engkau supaya iman
engkau tetap dan engkau sendiri dapat menjadi bukti kepada manusia-manusia lain
supaya engkau dan manusia-manusia lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang
apa yang diterangkan Tuhan tentang akhirat itu."
Setelah 'Uzair melihat makanan dan
keldainya yang sudah hancur itu, maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang
tahulah saya bahawa Allah itu adalah berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu."
Tiba-tiba keldai yang sudah hancur berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan
daging dan tulangnya. Dan akhirnya menjadi seperti sediakala iaitu hidup
kembali bergerak-gerak dan berdiri sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun
berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa Allah berkuasa di atas
segala-galanya." Lalu dia pun terus mengambil keldainya dahulu dan terus
menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu dengan mencari-cari jalan yang sukar
untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala telah berubah. Dia cuba mengingati
apa yang pernah dilihatnya seratus tahun dahulu.
Setelah menempuhi berbagai
kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai di
situ, dia mendapati rumahnya sudah pun buruk di mana segala dinding rumahnya
telah habis runtuh. Semasa dia memandang keadaan sekeliling rumahnya, dia
ternampak seorang perempuan tua, lantas dia pun bertanya, "Inikah rumah
tuan 'Uzair?"
"Ya," jawab perempuan itu.
"Inilah rumah 'Uzair dahulu, tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada
didengar berita tentangnya lagi sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya
sendiri tidak pernah menyebut namanya selain kali ini sahaja." Kata
perempuan itu sambil menitiskan airmata.
'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair
dengan pantas. "Saya telah dimatikan oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan
sekrang saya sudah dihidupkan oleh Allah kembali."
Perempuan tua itu terkejut seakan-akan
tidak percaya, lalu dia pun berkata, "'Uzair itu adalah seorang yang
paling soleh, doanya selalu dimakbulkan oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di
dalam menyembuhkan orang yang sakit tenat." Sambunya lagi, "Saya ini
adalah hambanya sendiri, badan saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun
buta kerana selalu menangis terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka
cubalah tuan doakan kepada Tuhan suaya mata saya terang kembali dan dapat
melihat tuan."
"Uzair pun mendaha kedua belah
tangannya ke langit lalu berdoa ke hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang rua
itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih terang lagi. Tubuhnya yang tua
dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah merenung wajah
'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih ingat."
Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya pergi mendapatkan orang
ramai, bangsa Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahawa dialah 'Uzair yang
pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan sahaja mengejutkan
bangsa Israil, tetapi ada juga meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya.
Walau bagaimanapun berita itu menarik perhatian semua orang yang hidup ketika
itu. Kerana itu mereka ingin menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak
kandungnya sendiri seraya bertanya, "Saya masih ingat bahawa bapa saya
mempunyai tanda di punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah
dia 'Uzair."
Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu
percayalah sebahagian daripada mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan
bukti yang lebih nyata, maka mereka berkata kepada 'Uzair, "Bahawa sejak
penyerbuan Nebukadnezar ke atas bangsa dan negara Israil dan setelah tentera
tersebut membakar kitab suci Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang
hafal isi Taurat kecuali 'Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan
sebutkan isi Taurat yang betul."
'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu
persatu dengan fasih dan lancar serta tidak salah walaupun sedikit.
Mendengarkan itu barulah mereka percaya bahawa sungguh benar itulah 'Uzair.
Ketika itu, semua bangsa Israil punpercaya bahawa dialah 'Uzair yang telah mati
dan dihidupkan semula oleh Tuhan. Banyak di antara mereka yang bersalam dan
mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan panduan daripadanya. Tetapi
sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh menganggap 'Uzair sebagai anak Tuhan
pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak samada 'Uzair mahupun Isa kerana
semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka. Janganlah kita was-was tentang
kekuasaan Allah, maka hendaklah dia fikir siapakah yang menciptakan dirinya
itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang
menciptakan. Kalau masih ada orang yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah,
ubatnya hanya satu sahaja, hendaklah dia membaca dan memahami al-Qur'an,
was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya datangnya dari syaitan.
Allah S.W.T telah meletakkan komputer
dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal kita untuk berfikir.