![]() | |
KISAH UNTA DAN ABU JAHAL UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH S.A.W 02 |
![]() |
KISAH UNTA DAN ABU JAHAL UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH S.A.W 02 |
KISAH UNTA MEMATAHKAN RANCANGAN ABU JAHAL UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH S.A.W
Setelah pelbagai
usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan penyebaran agama Islam
menemui kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap Rasulullah S.A.W.
Kebencian Abu Jahal ini tidak ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian
Abu Lahab terhadap Rasulullah S.A.W.
Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun
berkata kepada kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan, "Hai kaumku!
Janganlah sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan
sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita,
dia mencela tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu
sekalian, bahawa esok aku akan membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan
ke kepala Muhammad ketika dia sujud. Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua
samada mahu menyerahkan aku kepada keluarganya atau kamu membela aku dari
ancaman kaum kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang
mereka sukai."
Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang
ramai yang menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya,
"Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada
keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."
Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga
mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahawa dia akan menghapuskan
Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W bererti
akan terhapuslah segala keresahan dan kesusahan mereka selama ini yang
disebabkan oleh kegiatan Rasulullah S.A.W menyebarkan agama Islam di kalangan
mereka.
Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah
mengira-ngira perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad S.A.W
berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah mudah untuk membunuh Nabi
Muhammad S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa serta sekalian penghuni
langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali membiarkan kekasih-Nya diancam dan
diperlakukan seperti binatang.
Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi,
Abu Jahal pun terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W
bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan dengan
membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh beberapa orang
Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak kawan-kawannya ialah untuk
menyaksikan bagaimana nanti dia akan menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi
Muhammad S.A.W.
Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan
Nabi Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum
sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad S.A.W pecah dan tidak
bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana kaum QUraisy akanmenyambutnya
sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh musuh nombor satu mereka.
Sebaik sahaja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram,
dilihatnya Rasulullah S.A.W baru sahaja sampai dan hendak mengerjakan
sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad S.A.W tidak menyedari akan kehadiran
Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ. Baginda tidak pernah terfikir apa yang
hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada hari itu.
Sebaik-baik sahaja Abu Jahal melihat Rasulullah S.A.W telah
mula bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari arah belakang menuju ke
arah Nabi Muhammad S.A.W. Abu Jahal melangkah dengan berhati-hati, setiap
pergerakannya dijaga, takut disedari oleh baginda.
Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan
perasaan cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, "Kali ini
akan musnahlah engkau hai Muhammad."
Sebaik sahaja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad
S.A.W dan menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia
berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke tanah. Mukanya yang
tadi merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah tiada berdarah lagi.
Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi Muhammad S.A.W terbunuh,
tercengang dan saling berpandangan.
Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat
melangkahkan kaki walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya
segera menarik Abu Jahal dari situ sebelum disedari oleh baginda. Abu Jahal
masih terpinga-pinga dengan kejadian yang dialaminya.
Sebaik sahaja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi,
rakan-rakannya tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah
berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah sebenarnya yang terjadi kepada engkau,
Abu Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad
ketika dia sedang sujud tadi?"
Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin
kehairanan. Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang
berpidato dan menyumpah seranah Nabi S.A.W, tiba-tiba sahaja diam membisu.
Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan
kejadian yang baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa
yang dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan
berulang menimpa dirinya.
Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu
Rasulullah S.A.W pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu
kepada baginda bahawa Abu Jahal telah merampas hartanya. Pada masa itu Abu
Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia terpandang dua ekor
harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah S.A.W.
Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan
pelbagai soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, "Wahai sahabatku! Untuk
pengetahuan kamu semua, sebaik sahaja aku menghampiri Muhammad hendak
menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar
hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum pernah melihat unta yang
sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan
matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan
niatku."
Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar
penjelasan itu, mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia
hendak membunuh Nabi Muhammad S.A.W hanya tinggal kata-kata sahaja. Orang yang
selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W dan pengaruhnya
hanya berupaya bercakap seperti tin kosong sahaja.
Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak
memuaskan hati itu, maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan
kehairanan, "Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami
memerhatikan engkau dari jauh tetapi kai tidak napak akan unta yang engkau
katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak."
Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan
yang diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka
cerita yang karut itu, mereka mula hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya
segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak berapa endahkan lagi.