![]() | |
MAKANAN DARI HASIL TILIK |
Abu Bakar mempunyai seorang hamba yang menyerahkan sebahagian daripada pendapatan hariannya kepadanya sebagai tuan. Pada suatu hari hambanya telah membawa makanan yang dimakannya sedikit oleh Abu Bakar. Hambanya berkata, "Kamu selalu bertanya tentang sumber makanan yang aku bawa, tetapi hari ini kamu tidak berbuat demikian ?"
Abu Bakar menjawab, "Aku terlalu lapar sehingga aku
lupa bertanya. Terangkanlah kepada aku di mana kamu mendapat makanan ini
?"
Hamba menjawab, "Sebelum aku memeluk Islam, aku
menjadi tukang tilik. Orang-orang yang aku tilik nasibnya kadang-kadang tidak
boleh membayar wang kepadaku. Mereka berjanji membayarnya apabila sahaja
memperolehi. Aku berjumpa dengan mereka hari ini. Merekalah yang memberikan aku
makanan ini."
Mendengar kata-kata hambanya, Abu Bakar memekik, "Ah!
Nyaris-nyaris kau bunuh aku."
Kemudian dia cuba mengeluarkan makanan yang
telah ditelannya. Ada
orang yang mencadangkan supaya dia mengisi perutnya dengan air dan kemudian
memuntahkan makanan yang ditelannya tadi. Cadangan ini diterima dan
dilaksanakannya sehingga makanan itu dimuntahkan keluar.
Kata seorang pemerhati, "Semoga Allah mencucuri rahmat
ke atasmu. Kamu telah bersusah-payah kerana makanan yang sedikit."
"Aku sudah pasti memaksanya keluar walaupun dengan
berbuat demikian aku mungkin kehilangan jiwaku sendiri. Aku mendengar Nabi
berkata, "Badan yang tumbuh subur dengan makanan haram akan merasai api
neraka. Oleh kerana itulah maka aku memaksa makanan itu keluar takut
kalau-kalau ia menyuburkan badanku."