![]() | |
PAHALA MEMBANTU TETANGGA DAN ANAK YATIM |
Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak berhaji,
tertidur di Masjidil Haram. Dia telah bermimpi melihat dua malaikat turun dari
langit lalu yang satu berkata kepada yang lain, "Berapa banyak orang-orang
yang berhaji pada tahun ini?"
Jawab yang lain, "Enam ratus ribu."
Lalu ia bertanya lagi, "Berapa banyak yang diterima
?"
Jawabnya, "Tidak seorang pun yang diterima, hanya ada
seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq, dia tidak dapat berhaji, tetapi
diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun itu diterima dengan berkat
hajinya Muwaffaq."
Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar percakapannya itu,
maka terbangunlah ia dari tidurnya, dan langsung berangkat ke Damsyik mencari
orang yang bernama Muwaffaq itu sehingga ia sampailah ke rumahnya. Dan ketika
diketuknya pintunya, keluarlah seorang lelaki dan segera ia bertanya namanya.
Jawab orang itu, "Muwaffaq."
Lalu abdullah bin Mubarak bertanya padanya, "Kebaikan
apakah yang telah engkau lakukan sehingga mencapai darjat yang sedemikian
itu?"
Jawab Muwaffaq, "Tadinya aku ingin berhaji tetapi
tidak dapat kerana keadaanku, tetapi mendadak aku mendapat wang tiga ratus
diirham dari pekerjaanku membuat dan menampal sepatu, lalau aku berniat haji pada
tahun ini sedang isteriku pula hamil, maka suatu hari dia tercium bau makanan
dari rumah jiranku dan ingin makanan itu, maka aku pergi ke rumah jiranku dan
menyampaikan tujuan sebenarku kepada wanita jiranku itu.
Jawab jiranku, "Aku terpaksa membuka rahsiaku,
sebenarnya anak-anak yatimku sudah tiga hari tanpa makanan, kerana itu aku
keluar mencari makanan untuk mereka. Tiba-tiba bertemulah aku dengan bangkai
himar di suatu tempat, lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk
masak, maka makanan ini halal bagi kami dan haram untuk makanan kamu."
Ketika aku mendegar jawapan itu, aku segera kembali ke
rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham dan keserahkan kepada jiranku tadi
seraya menyuruhnya membelanjakan wang itu untuk keperluan anak-anak yatim yang
ada dalam jagaannya itu.
"Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu
rumahku." Kata Muwaffaq lagi.
Demikianlah cerita yang sangat berkesan bahawa membantu
jiran tetangga yang dalam kelaparan amat besar pahalanya apalagi di dalamnya
terdapat anak-anak yatim.
Rasulullah ada ditanya, "Ya Rasullah tunjukkan padaku
amal perbuatan yang bila kuamalkan akan masuk syurga."
Jawab Rasulullah, "Jadilah kamu orang yang baik."
Orang itu bertanya lagi, "Ya Rasulullah, bagaimanakah
akan aku ketahui bahawa aku telah berbuat baik?"
Jawab Rasulullah, "Tanyakan pada tetanggamu, maka bila
mereka berkata engkau baik maka engkau benar-benar baik dan bila mereka berkata
engkau jahat, maka engkau sebenarnya jahat."