ORANG YANG PALING BERANI |
Al Bazzar meriwayatkan dalam kitab Masnadnya dari Muhammad bin Aqil katanya, "Pada suatu hari Ali bin Abi Talib pernah berkhutbah di hadapan kaum Muslimin dan beliau berkata, "Hai kaum Muslimin, siapakah orang yang paling berani ?"
Jawab mereka, "Orang yang paling berani adalah engkau
sendiri, hai Amirul Mukminin."
Kata Ali, "Orang yang paling berani bukan aku tapi
adalah Abu Bakar. Ketika kami membuatkan Nabi gubuk di medan Badar, kami tanyakan siapakah yang
berani menemankan Rasulullah s.a.w dalam gubuk itu dan menjaganya dari serangan
kaum Musyrik ? Di saat itu tiada seorang pun yang bersedia melainkan Abu Bakar
sendiri. Dan beliau menghunus pedangnya di hadapan Nabi untuk membunuh siapa
sahaja yang mendekati gubuk Nabi s.a.w. Itulah orang yang paling berani."
"Pada suatu hari juga pernah aku menyaksikan ketika
Nabi sedang berjalan kaki di kota
Mekah, datanglah orang Musyrik sambil menghalau beliau dan menyakiti beliau dan
mereka berkata, "Apakah kamu menjadikan beberapa tuhan menjadi satu tuhan
?" Di saat itu tidak ada seorang pun yang berani mendekat dan membela Nabi
selain Abu Bakar. Beliau maju ke depan dan memukul mereka sambil berkata,
"Apakah kamu hendak membunuhorang yang bertuhankan Allah ?"
Kemudian sambil mengangkat kain selendangnya beliau
mengusap air matanya. Kemudian Ali berkata, "Adakah orang yang beriman
dari kaum Firaun yang lebih baik daripada Abu Bakar ?" Semua jamaah diam
sahaja tidak ada yang menjawab. Jawab Ali selanjutnya, "Sesaat dengan Abu
Bakar lebih baik daripada orang yang beriman dari kaum Firaun walaupun mereka
sepuluh dunia, kerana orang beriman dari kaum Firaun hanya menyembunyikan
imannya sedang Abu Bakar menyiarkan imannya."