TIDAK AKAN MASUK NERAKA ORANG YANG MENANGIS KARENA TAKUT KEPADA ALLAH S.W.T |
Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar
menerangkan bahawa akan didatangkan seorang hamba pada hari kiamat nanti, dan
sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan telah diperintahkan untuk
dimasukkan ke dalam neraka.
Maka salah satu daripada rambut-rambut
matanya berkata, "Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi Muhammad S.A.W telah
bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah S.W.T, maka Allah
mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya aku menangis kerana amat
takut kepada-Mu."
Akhirnya Allah S.W.T mengampuni hamba
itu dan menyelamatkannya dari api neraka dengan berkat sehelai rambut yang
pernah menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Malaikat Jibril A.S
mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab sehelai rambut."
Dalam sebuah kitab lain,
Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan didatangkan
neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang sangat
menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan menghadapinya. Allah
S.W.T berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada hari itu) setiap umat
berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap umat diseru kepada buku
amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini kamu dibalasi menurut apa-apa
yang telah kau kerjakan." (Surah al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri
neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka dengan nyalaan apinya, dan
diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara nyalaan api neraka itu dapat
didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu itu, akan berkata setiap orang
hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku, diriku (selamatkanlah diriku Ya
Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang akan berkata, "Umatku,
umatku."
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi
Muhammad S.A.W. Pada masa itu akan keluarlah api neraka jahim seperti
gunung-gunung, umat Nabi Muhammad berusaha menghalanginya dengan berkata,
"Wahai api! Demi hak orang-orang yang solat, demi hak orang-orang yang
ahli sedekah, demi hak orang-orang yang khusyuk, demi hak orang-orang yang
berpuasa, supaya engkau kembali."
Walaupun dikata demikian, api neraka
itu tetap tidak mahu kembali, lalu malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya
api neraka itu menuju kepada umat Muhammad S.A.W"
Kemudian Jibril membawa semangkuk air
dan Rasulullah meraihnya. Berkata Jibril A.S. "Wahai Rasulullah, ambillah
air ini dan siramkanlah kepadanya." Lalu Baginda mengambil dan
menyiramkannya pada api itu, maka padamlah api itu.
Setelah itu Rasulullah S.A.W pun
bertanya kepada Jibril A.S. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka
Jibril berkata, "Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang
menangis kerana takut kepada Allah S.W.T. Sekarang aku diperintahkan untuk
memberikannya kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka
padamlah api itu dengan izin Allah S.W.T.
Telah bersabda Rasulullah S.A.W,
" Ya Allah anugerahilah kepada kami dua buah mata yang menangis kerana
takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air mata."