HIKMAH MENINGGALKAN PERKATAAN BOHONG |
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata :
"Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu sahaja
berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab :
"Mahukah engkau berjanji bahawa engkau sanggup meninggalkan cakap
bohong?"
"Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu singkat.
Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.
Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam,
dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri,
berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia
sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta
nasihat dari Rasulullah S.A.W.
Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W.
lelaki itu berkata di dalam hatinya :
"Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang
dikehendaki oleh Rasulullah itu."
Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati
kecilnya terus mengejek.
"Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu
nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong
kepadanya" bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat,
maka dia teringat segala pesan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali pulalah
hatinya berkata :
"Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku
telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti
aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di
dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat
berharga."
Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya
lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut
hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia
telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan
oleh Rasulullah S.A.W. Hingga ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang
soleh dan mulia.