KISAH BERPISAHNYA ROH DARI JASAD |
Dalam sebuah hadith daripada Aisyah r.a katanya, "Aku sedang duduk bersila di dalam rumah. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W datang dan masuk sambil memberi salam kepadaku. Aku segera bangun kerana menghormati dan memuliakannya sebagaimana kebiasaanku di waktu baginda masuk ke dalam rumah. Nabi S.A.W bersabda, "Duduklah di tempat duduk, tidak usahlah berdiri, wahai Ummul Mukminin." Maka Rasulullah S.A.W duduk sambil meletakkan kepalanya di pangkuanku, lalu baginda berbaring dan tertidur.
Maka aku hilangkan uban pada
janggutnya, dan aku dapat 19 rambut yang sudah putih. Maka terfikirlah dalam
hatiku dan aku berkata, "Sesungguhnya baginda akan meninggalkan dunia ini
sebelum aku sehingga tetaplah satu umat yang ditinggalkan olehnya
nabinya." Maka aku menangis sehingga mengalir air mataku jatuh menitis
pada wajah baginda.
Baginda terbangun dari tidurnya seraya
bertanya, "Apakah sebabnya sehingga engkau menangis wahai Ummul
Mukminin?" Masa aku ceritakan kisah tadi kepadanya, lalu Rasulullah S.A.W
bertanya, "Keadaan bagaimanakah yang hebat bagi mayat?" Kataku,
"Tunjukkan wahai Rasulullah!"
Rasulullah S.A.W berkata,
"Engkaulah katakan!," Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada keadaan
lebih hebat bagi mayat ketika keluarnya mayat dari rumahnya di mana
anak-anaknya sama-sama bersedih hati di belakangnya. Mereka sama-sama berkata,
"Aduhai ayah, aduhai ibu! Ayahnya pula mengatakan: "Aduhai anak!"
Rasulullah S.A.W bertanya lagi:
"Itu juga termasuk hebat. Maka, manakah lagi yang lebih hebat daripada
itu?" Jawab Aisyah r.a : "Tidak ada hal yang lebih hebat daripada
mayat ketika ia diletakkan ke dalam liang lahad dan ditimbuni tanah ke atasnya.
Kaum kerabat semuanya kembali. Begitu pula dengan anak-anak dan para kekasihnya
semuanya kembali, mereka menyerahkan kepada Allah berserta dengan segala amal
perbuatannya." Rasulullah S.A.W bertanya lagi, "Adakah lagi yang
lebih hebat daripada itu?" Jawab Aisyah, "Hanya Allah dan Rasul-Nya
sahaja yang lebih tahu."
Maka bersabda Rasulullah S.A.W :
"Wahai Aisyah, sesungguhnya sehebat-hebat keadaan mayat ialah ketika orang
yang memandikan masuk ke rumahnya untuk emmandikannya. Maka keluarlah cincin di
masa remaja dari jari-jarinya dan ia melepaskan pakaian pengantin dari
badannya. Bagi para pemimpin dan fuqaha, sama melepaskan serban dari kepalanya
untuk dimandikan.
Di kala itu rohnya memanggil, ketika
ia melihat mayat dalam keadaan telanjang dengan suara yang seluruh makhluk
mendengar kecuali jin dan manusia yang tidak mendengar. Maka berkata roh,
"Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah, lepaskanlah
pakaianku dengan perlahan-lahan sebab di saat ini aku berehat dari kesakitan
sakaratul maut." Dan apabila air disiram maka akan berkata mayat,
"Wahai orang yang memandikan akan roh Allah, janganlah engkau menyiram air
dalam keadaan yang panas dan janganlah pula dalam keadaan sejuk kerana tubuhku
terbakar dari sebab lepasnya roh," Dan jika merea memandikan, maka berkata
roh: "Demi Allah, wahai orang yang memandikan, janganlah engkau gosok
tubuhku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh."
Apabila telah selesai dari dimandikan
dan diletakkan pada kafan serta tempat kedua telapaknya sudah diikat, maka
mayat memanggil, "Wahai orang yang memandikanku, janganlah engkau
kuat-kuatkan dalam mengafani kepalaku sehingga aku dapat melihat wajah
anak-anakku dan kaum keluargaku sebab ini adalah penglihatan terakhirku pada
mereka. Adapun pada hari ini aku dipisahkan dari mereka dan aku tidakakan dapat
berjumpa lagi sehingga hari kiamat."
Apabila mayat dikeluarkan dari rumah,
maka mayat akan menyeru, "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah
meninggalkan isteriku menjadi janda, maka janganlah kamu menyakitinya.
Anak-anakku telah menjadi yatim, janganlah menyakiti mereka. Sesungguhnya pada
hari ini aku akan dikeluarkan dari rumahku dan meninggalkan segala yang
kucintai dan aku tidak lagi akan kembali untuk selama-lamanya."
Apabila mayat diletakkan ke dalam keranda,
maka berkata lagi mayat, "Demi Allah, wahai jemaahku, janganlah kamu
percepatkan aku sehingga aku mendengar suara ahliku, anak-anakku dan kaum
keluargaku. Sesungguhnya hari ini ialah hari perpisahanku dengan mereka
sehingga hari kiamat."