Sulaiman
bin Daud adalah satu-satunya Nabi yang memperoleh keistimewaan dari Allah SWT
sehingga boleh memahami bahasa binatang. Dia boleh bicara dengan burung Hud Hud
dan juga boleh memahami bahasa semut. Dalam Al-Quran surah An Naml, ayat 18-26
adalah contoh dari sebahagian ayat yang menceritakan akan keistimewaan Nabi
yang sangat kaya raya ini.
Firman Allah,
“Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata, “hai
manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi
segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata.”
Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari jin, manusia dan burung, lalu
mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan) sehingga apabila mereka sampai
di lembah semut berkatalah seekor semut, “hai semut-semut, masuklah ke dalam
sarang-sarangmu agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan
mereka tidak menyedari.”
Maka Nabi Sulaiman tersenyum dengan tertawa kerana mendengar perkataan
semut itu. Katanya,
“Ya Rabbi,
limpahkan kepadaku kurnia untuk mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau
anugerahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku; kurniakan padaku hingga
boleh mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkan aku dengan
rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh.” (An-Naml: 16-19)
Menurut sejumlah riwayat, pernah suatu hari Nabi Sulaiman as bertanya kepada
seekor semut, “Wahai semut! Berapa banyak engkau perolehi rezeki dari Allah
dalam waktu satu tahun?”
“Sebesar biji gandum,”
jawabnya.
Kemudian, Nabi Sulaiman memberi semut sebiji gandum lalu memeliharanya dalam
sebuah botol. Setelah genap satu tahun, Sulaiman membuka botol untuk melihat
nasib si semut. Namun, didapatinya si semut hanya memakan sebahagian biji
gandum itu.
“Mengapa engkau hanya
memakan sebahagian dan tidak menghabiskannya?” tanya Nabi Sulaiman.
“Dahulu aku bertawakal
dan pasrah diri kepada Allah,” jawab si semut. “Dengan tawakal kepada-Nya aku
yakin bahawa Dia tidak akan melupakanku. Ketika aku berpasrah kepadamu, aku
tidak yakin apakah engkau akan ingat kepadaku pada tahun berikutnya sehingga
boleh memperoleh sebiji gandum lagi atau engkau akan lupa kepadaku. Kerana itu,
aku harus tinggalkan sebahagian sebagai bekal tahun berikutnya.”
Nabi Sulaiman, walaupun ia sangat kaya raya, namun kekayaannya adalah nisbi dan
terbatas. Yang Maha Kaya secara mutlak hanyalah Allah SWT semata-mata. Nabi
Sulaiman, meskipun sangat baik dan kasih, namun yang Maha Baik dan Maha Kasih dari
seluruh pengasih hanyalah Allah SWT semata. Dalam diri Nabi Sulaiman tersimpan
sifat terbatas dan kenisbian yang tidak dapat dipisahkan; sementara dalam Zat
Allah sifat mutlak dan absolut.
Bagaimanapun kayanya Nabi Sulaiman, dia tetap manusia biasa
yang tidak boleh sepenuhnya dijadikan tempat bergantung. Bagaimana kasihnya
Nabi Sulaiman, dia adalah manusia biasa yang menyimpan kedaifan-kedaifannya
tersendiri. Hal itu diketahui oleh semut Nabi Sulaiman. Kerana itu, dia masih
tidak percaya kepada janji Nabi Sulaiman ke atasnya. Bukan kerana khuatir Nabi
Sulaiman akan ingkar janji, namun khuatir Nabi Sulaiman tidak mampu memenuhinya
lantaran sifat manusiawinya. Tawakal atau berpasrah diri bulat-bulat hanyalah
kepada Allah SWT semata, bukan kepada manusia.
GOLONGAN JIN IRI HATI DENGAN RATU BALGIS
Ratu Balqis adalah seorang wanita yang sangat cantik dan mempunyai akal yang
cerdas, oleh sebab itulah golongan jin merasa iri hati dengannya. Mereka
mengatakan bahawa Ratu Balqis itu mempunyai dua aib, pertama tubuhnya pendek
dan kedua betisnya seperti betis unta.
Maka Nabi Sulaiman memerintahkan supaya para Jin mengubah sedikit singgahsana
Ratu Balqis, lalu beliau menyuruh pula membangun sebuah mahligai yang dibuat
dari kaca. Bahagian bawah mahligai tersebut dan kelilingnya mengalir
sungai-sungai dengan berisikan ikan-ikan, di atas air itu dibuat sebuah
jambatan daripada kaca.
Ketika Ratu Balqis dan rombongan tiba, Nabi Sulaiman
bertanya kepadanya: “Apakah ini singgahsanamu? Ratu Balqis menjawab: Mungkin!
Ia tidak mengatakan ya, kerana dilihatnya ada sedikit perubahan. Tetapi tidak
mengatakan bukan, disebabkan ada sebahagian yang serupa dengan singgah-sananya.
Dari jawapan Ratu Balqis itu, tahulah Nabi Sulaiman as bahawa ia adalah seorang
wanita yang berakal sempurna serta bijaksana.
Kemudian Nabi Sulaiman as menyuruh tamunya itu masuk ke dalam istana. Ketika
Ratu Balqis melihat ke dalam istana, ia melihat seakan-akan ada aliran air,
sehingga ia mengangkat kainnya, sehingga betisnya tersingkap. Nabi Sulaiman as
melihat betisnya itu, maka tidak ada satu aibpun seperti yang disampaikan oleh
golongan jin.
Nabi Sulaiman berkata kepada Ratu Balqis: “Ini adalah sebuah
mahligai yang licin, ia dibentuk daripada kaca.” ketika Ratu Balqis menyaksikan
betapa hebatnya Nabi Sulaiman, ia berkata dalam hatinya: “Walaupun kerajaanku
luas, singgahsanaku indah dan megah, bala tenteraku ramai, namun jika
dibandingkan dengan semua yang aku saksikan ini, seakan-akan milikku tidak
bererti.
Kemudian ia berkata seperti yang diungkapkan di dalam Quran, firman Allah SWT
surah An Naml ayat 44 bermaksud: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah berbuat
zalim terhadap diriku dan aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah Tuhan
semesta alam.” Setelah itu Ratu Balqis pun berkahwin dengan Nabi Sulaiman as.
Peristiwa pernikahan Nabi Sulaiman dengan Ratu Balqis ini terjadi pada hari
Jumaat.
Begitu besarnya kerajaan Nabi Sulaiman as. yang mana angin sebagai
kenderaannya, manusia dan jin sebagai tenteranya, burung sebagai pembantu dan
teman-teman bercakapnya, binatang-binatang buas sebagai buruhnya dan para
malaikat sebagai utusannya.
Nabi Sulaiman as mempunyai satu padang, sebahagian tanahnya
terbuat daripada emas dan sebahagian lagi daripada perak. Jika tenteranya
berbaris di padang itu, maka panjang barisan itu tidak kurang dari seratus
parsakh. Sedangkan luas tempat tinggalnya adalah sebulan perjalanan.
Kemudian golongan jin membuat untuknya sebuah permaidani daripada emas dan
perak. Pada permaidani tersebut terdapat dua belas ribu mihrab, pada setiap
mihrab terdapat kursi daripada emas dan perak, kemudian duduk di atas tiap-tiap
kursi tersebut seorang yang alim dari ulamak Bani Israil.
Pada setiap hari dimasak kira-kira seribu unta, empat ribu lembu dan empat
puluh ribu kambing. Nabi Sulaiman juga mempunyai piring-piring yang besar
bagaikan kolam dan periuk yang tetap berada di atas tungku.
Firman Allah SWT:
“Para jin
membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang dikehendaknya dari bangunan yang tinggi
dan patung-patung dan piring-piring yang besarnya seperti kolam dan periuk yang
tetap berada di atas tungku.” (Saba’: 13)
Begitu besarnya nikmat dan kelebihan Nabi Sulaiman as. Namun begitu kelebihan
dan kenikmatan umat Nabi Muhammad SAW yang beriman, di dalam Syurga nanti
disediakan tempat-tempat tinggal dan darjat, kebun-kebun, sungai-sungai dan
buah-buahan. Di dalamnya diperolehi segala sesuatu yang menyenangkan jiwa dan
mata. Di dalamnya juga terdapat sesuatu yang tidak pernah terlintas oleh
fikiran manusia.
Dikisahkan bahawa serendah-rendah darjat tempat umat Nabi Muhammad SAW di dalam
Syurga itu ialah seratus kali luas kerajaan Sulaiman as. Malah lebih baik,
kerana Syurga adalah tempat yang abadi. Di dalamnya tidak ada matahari,
kesejukan, kesakitan, kesusahan serta lain-lain penderitaan. Di Syurga adalah
tempat yang abadi, kesenangan tanpa batas, pemberian tanpa dihitung, penerimaan
tanpa ditolak.
Ada
Syurga yang dinamakan dengan Darussalam, di dalamnya mempunyai keselamatan
tanpa adanya kebinasaan, kenikmatan tanpa malapetaka, kecintaan tanpa
permusuhan, kemuliaan tanpa kehinaan serta bermacam-macam lagi kenikmatan yang
sukar untuk diungkapkan.
Kemudian Syurga Jannatunna’im. Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa
disediakan di sisi Tuhan mereka Syurga kenikmatan. Di dalamnya para
hamba-hamba-Nya bertempat tinggal, para nabi menjadi sahabatnya, tinggal
kekal dalamnya dengan kurnia yang berlimpah ruah. Tidak ada kesusahan di
dalamnya, terdapat bidadari cantik dan jelita, mahligainya tinggi dan tempat
yang luas.
Syurga Firdaus, disediakan bagi orang-orang yang tidak menyekutukan Allah SWT
dengan sesuatu, menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat, tidak membuat
kemungkaran serta menjalankan segala yang diperintahkan Allah SWT. Allah SWT
menjadikan penghuni Syurga ini sebagai kekasihNya.
Di
dalam Syurga Firdaus terdapat empat sungai, iaitu sungai dari air tawar, sungai
dari air susu yang tidak berubah rasanya, sungai dari air arak yang lazat
rasanya dan sungai air madu. Di dalamnya juga diperolehi berbagai macam
buah-buahan. Ada
lagi empat mata air iaitu: Salsabil, Zanjabil, Rohiiq dan Tasniim. Ada lagi dua mata air
yang mengalir dan dua mata air yang memancar, iaitu Al-kaafuur dan Al-kautsar.
Di dalamnya juga diperolehi segala sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh mata
dan didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya
orang-orang yang bertakwa itu di dalam taman-taman dan sungai-sungai, di tempat
yang disenangi di sisi Tuhan Yang Berkuasa.” (Al-Qamar: 54-55)