PAHLAWAN NERAKA |
Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat
telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu.
Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata.
Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat
mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti
seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah
menjadi buah mulut ketika itu.
"Tidak seorang pun di antara kita
yang dapat menandingi kehebatan Qotzman," kata salah seorang sahabat.
Mendengar perkataan itu, Rasulullah
pun menjawab, "Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka."
Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah itu.
Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam
boleh masuk dalam neraka. Para sahabat
berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah itu.
Rasulullah sedar para sahabatnya tidak
begitu percaya dengan ceritanya, lantas baginda berkata, "Semasa Qotzman
dan Aktsam keluar ke medan
perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh
pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan
pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya.
Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."
"Dia melakukan perbuatan itu
adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang
dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi
membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka
yang dia akan masuk syurga. Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai
penduduk neraka."
Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum
dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, "Demi Allah aku berperang bukan
kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh
kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau
tidak kerana itu, aku tidak akan berperang."
Riwayat ini telah dirawikan oleh
Luqman Hakim.